SELARI FUNGSINYA...ruang makan tampil dengan gaya tersendiri.
MEWAH...idea reka letak cipta titik fokal terbaik.
EKSKLUSIF...kabinet dapur berbeza berasaskan kayu jati.
BERMANFAAT...sudut santai juga ada di bilik tidur utama.
GARAPAN idea penataan diterjemahkan sepenuhnya hingga segenap ruang dalaman mempunyai daya tarikan tersendiri.
Begitulah uniknya kediaman Haslina Mohd Amin, 39, yang mengilhamkan konsep Nusantara dengan menampilkan beberapa elemen hiasan pilihan selari gaya penataan.
Keindahan perabotjati menjadi elemen hiasan utama di kediamannya di Taman Seri Pristana, Sungai Buloh, Selangor itu.
Dari ruang tamu, ruang makan, dapur hingga bilik tidur elemen hiasan jati diketengahkan mengikut kesesuaian konsep Nusantara.
"Sejak lima tahun mendiami kediaman ini, idea penataan Nusantara menjadi pilihan seisi keluarga kerana ia begitu sinonim dengan elemen hiasan jati.
"Apatah lagi elemen hiasan jati termasuk perabot dan aksesori mempunyai keunikan dalam menampilkan gaya eksklusif serta tidak lapuk ditelan zaman.
"Sebut saja elemen hiasan jati tentunya menggambarkan kemasan indah, tahan lasak dan dekat dengan alam selain melambangkan nilai estetika terbaik," kata pemilik Galeria Nusantara yang beroperasi di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor itu.
Menariknya idea penataan di kediaman itu menzahirkan dekorasi istimewa Galeria Nusantara yang menawarkan perabot dan aksesori hiasan jati.
Bermula dengan pengubahsuaian bahagian hadapan dan belakang, hasilnya memperlihatkan sebuah penataan lengkap seiring cita rasa penghuninya.
Lebih membanggakan semua idea penataan Nusantara itu adalah ilham Haslina bersama, suami tercinta Raja Abdullah Shahimi Raja Abd Wahab dan tiga cahaya matanya.
Aspek keselesaan dan ruang pergerakan tanpa had juga diberi perhatian utama supaya perabot dan aksesori hiasan itu lebih memberikan manfaat.
Sentuhan idea di ruang tamu diserlahkan seindah mungkin apabila set perabot dan aksesori hiasan jati digabungkan bersama.
Latar dinding yang dihiasi cermin hiasan jati pula memperlihatkan ruang tampak lebih luas dan eksklusif.
Sementara lampu hiasan yang menyerikan ruang berkenaan memberikan impak berbeza khususnya malam.
Pilihan kemasan fabrik langsir nipis rona krim pula membuatkan suasana ruang tamu itu lebih mesra dan harmoni sepanjang masa.
Dua sudut santai yang diwujudkan berasingan hakikatnya mengilhamkan pemandangan memukau dengan dua set kerusi santaijati menjadi elemen hiasan utama.
Idea penataan santai cuba dizahirkan tanpa perlu sarat dengan aksesori hiasan cukup sekadar set kerusinya saja.
Tidak ketinggalan ruang keluarga bersebelahan ruang tamu itu tetap menarik kerana memanfaatkan elemen hiasan jati khususnya kabinet televisyen dengan dekoratif seni tersendiri.
Kehadiran tiang berukiran indah kayu jati bukan sekadar membezakan fungsi ruang malah melambangkan gaya hidup pemiliknya yang mencintai elemen hiasan kayu berkenaan.
Mata tidak terlepas pandang keindahan penataan di ruang makan yang menampilkan keunikan elemen hiasan jati.
Latar meja makan pula tidak dibiarkan kosong sebaliknya dihiasi set pinggan mangkuk yang menarik lengkap sebagai tata cara ketika menjamu selera.
Penataan cahaya lampu dan dinding di ruang itu juga diberi perhatian supaya suasana lebih ceria dan mendamaikan.
Ketika diberi peluang menjenguk ruang dapur, penulis teruja dengan kemasan unik kabinet dapur berasaskan kayu jati yang terkenal dengan ketahanannya.
"Kayu jati sengaja dipilih material utama kabinet dapur ini untuk membuktikan ia bukan sekadar pelengkap untuk ruang tamu, ruang makan atau bilik tidur semata-mata.
"Walaupun memilih kayu jati sebagai material kabinet dapur, suasana ringkas dan kemas masih boleh diketengahkan," katanya.
Kekisi tangga menuju ke tingkat atas pula menginspirasikan pemandangan memukau kerana berlatarkan ukiran kayu jati yang penuh dengan dekoratif seninya.
Keindahan elemen hiasan jati turut diketengahkan pada bilik tidur utama kediaman itu dengan kombinasi rona sedondon pada kemasan lain.
"Padanan rona krim, coklat dan putih diselarikan untuk menonjolkan gaya penataan berbeza Nusantara selain disesuaikan dengan elemen hiasan jati khususnya katil dan aksesori hiasan lain.
"Apatah lagi saya dan suami gemarkan suasana bilik tidur yang tenang, romantik dan ringkas tanpa perlu melupakan elemen hiasan jati," katanya.
Menceritakan rahsia segenap ruang tampil kemas dan menarik sepanjang masa kerana aktiviti mengemas dilakukan setiap hari.